Terengganu lancar aplikasi Baitul Urus bantu remaja cari jodoh

Mohd Lazim Endut

GOLONGAN remaja di Terengganu yang menyimpan hasrat untuk mendirikan rumahtangga tidak perlu khuatir tentang kesukaran mencari jodoh.

Ini kerana, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melancarkan program aplikasi Baitul Urus bagi membantu memudahkan golongan berkenaan mencari jodoh dan pasangan hidup melalui perkahwinan kali pertama.

Selain itu, Baitul Urus juga membuka peluang kepada ibu atau bapa tunggal yang ingin mencari pasangan serasi dan sesuai untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, program yang dikendalikan sepenuhnya oleh YPKT itu untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat jodoh secara cepat, mudah dan bersesuaian mengikut kriteria dikehendaki.

“Namun, ada syarat-syarat tertentu diberikan kepada mereka yang ingin mencari jodoh melalui aplikasi ini antaranya mereka mestilah rakyat Terengganu sama ada lelaki atau   wanita.

“Dari segi usia, mestilah 21 tahun ke atas tanpa mengira di mana mereka bertugas dan aplikasi ini tidak dibenarkan kepada mereka yang ingin berpoligami,” katanya.

Hanafiah berkata demikian ketika melancarka aplikasi Baitul Urus di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Hanafiah, usaha mewujudkan aplikasi berkenaan adalah bagi mengatasi fenomena kahwin lewat dalam kalangan anak muda yang menjadi suatu kebimbangan pihaknya.

Beliau berkata, fenomena kahwin lewat boleh menjadi antara peyumbang kepada penurunan kadar kesuburan.

“Sebabnya ialah gaya hidup sekarang yang lebih menumpukan kepada aspek melanjutkan pelajaran, mengejar kerjaya serta memilih untuk tidak terikat dengan institusi perkahwinan.

“Selain itu ada juga yang tidak menemui calon sesuai dan menghadapi masalah kewangan, turut memberi kesan kepada golongan ini melangkah ke gerbang perkahwinan,” ujarnya.

Menurut Hanafiah, sebelum ini kerajaan negeri telah telah melaksanakan pelbagai program termasuk Walimatul Urus Perdana untuk memudahkan golongan belia dan beliawanis negeri ini mendirikan rumah tangga.

“Program ini akan diteruskan dan akan diperluaskan dengan turut memberi tumpuan kepada golongan ibu atau bapa tunggal selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah YPKT,  Wan Mohd Zaki Wan Abdullah memberitahu, bagi mereka yang berminat menyertai program mencari jodoh Baitul Urus hsnya perlu mendaftarkan diri di pautan baitulurus.ypkt.gov.my.


“Maklumat pemohon (ahli) akan disimpan sebagai rujukan, semakan status pendaftaran melalui emel. Selepas itu mereka boleh melakukan proses mencari pasangan mengikut kriteria masing-masing.

“Setelah pasangan bersetuju kita akan adakan sesi perjumpaan di pejabat YPKT,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *