Polis berkas tiga individu jadikan kondominium pusat panggilan judi

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan tiga individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian di dua buah unit kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kesemua suspek disyaki bekerja sebagai operator untuk mengendalikan akitiviti perjudian dalam talian di kediaman tersebut.

“Kita merampas pelbagai peralatan termasuk tiga unit monitor komputer, tiga unit pemprosesan komputer (CPU), 56 buah telefon bimbit, router, modem dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, kediaman tersebut disewa dengan bayaran RM2,000 sebulan dan mula beroperasi sebagai pusat panggilan sejak awal tahun ini.

“Kesemua suspek diupah untuk membuat panggilan sebagai salah satu cara mempromosikan perjudian dalam talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *