MENGHADKAN tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik merupakan antara tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan jika usul percaya diluluskan di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan pada minggu hadapan.
‘’Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,’’ katanya dalam ucapan khas yang disiarkan ke seluruh negara hari ini.
Muhyiddin berkata, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
‘’ Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini. Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,’’ katanya.
Berikut tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri;
* Pertama, atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.
*Kedua, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan.
Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, Kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion. Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis Covid-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Dalam menangani krisis kesihatan Covid-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate.
Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”.
Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, Kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021.
Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan.
Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang Covid-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS, terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.
*Ketiga, sekiranya Kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang- Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
*Keempat, Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.
Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.
Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
*Kelima, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.
*Keenam rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
*Ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Leave a Reply