Nyawa rakyat dalam bahaya jika kemelut politik berlarutan – PM

MELALUI ucapan khas yang disiarkan seluruh negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap secara jujur dan berterus terang berhubung perkembangan politik negara khususnya berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Beliau yang kelihatan tenang berkata, tindakan beberapa ahli Parlimen menarik sokongan menimbulkan keraguan tentang keabsahan sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah.

‘’ Dalam keadaan ini, saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan.

‘’Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan,Yang di- Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

‘’Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku. Namun, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu,’’ katanya.

Muhyiddin menegaskan,  jika meletak jawatan pada masa ini, bukan beliau seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri.

‘’ Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.

‘’Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau melontarkan persoalan, apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera dan kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual.

‘’Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

‘’Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *