Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PENDUDUK Kuala Lumpur dijangka mencapai 80 peratus bagi dua dos vaksin Covid-19 pada Ahad ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkembangan itu akan menjadikan Kuala Lumpur antara ibu kota terawal di dunia lengkap menerima suntikan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
“Pada masa ini, seramai 1.38 juta individu atau 78 peratus daripada populasi penduduk di Kuala Lumpur sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
“Insya-Allah dua hari lagi pada hujung minggu ini, kita bakal mencapai 80 peratus atau 1.48 juta penduduk lengkap dos kedua vaksinasi,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Annuar berkata, berdasarkan data tersebut, Kuala Lumpur juga menjadi wilayah kedua selepas Labuan menerima dua dos vaksin berkenaan.
Justeru katanya, Kuala Lumpur perlu membuat persiapan ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat mula dibuka secara berperingkat.
Menerusi info grafik yang kongsi Annuar dalam Facebook, beliau menunjukkan sebanyak 4.25 juta dos suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Leave a Reply