Kalau betul demi rakyat, hentikan huru-hara politik rebut kuasa

SUDAH sah kini negara sudah ditimpa krisis tiga serangkai iaitu kesihatan, ekonomi dan politik. Dua krisis disebabkan serangan pandemik Covid-19 yang bermula di Wuhan, China dan berlanjutan hingga hari ini. Satu lagi krisis akibat tindakan politik oleh UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Dua krisis yang berlaku bukannya mahu ditangani bersama sebaliknya dijadikan ‘peluru’ untuk mencetuskan krisis ketiga yang menjurus kepada perebutan kuasa, mahu menjatuhkan kerajaan dan mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

Sepatutnya tumpuan diberikan kepada dua krisis sahaja tetapi ada dalam kalangan ahli politik kita yang hipokrit, mereka sudah tidak sabar lagi untuk melaksanakan agenda politik mereka kerana merasakan inilah detik terbaik untuk menumbangkan kerajaan dan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Masing-masing merasakan hanya individu dalam parti mereka sahaja yang layak menjadi Perdana Menteri, hanya gabungan atau parti mereka sahaja paling bijak untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan. Justeru mereka menggunakan sentimen rakyat sebagai alasan dan cuba memberi gambaran kerajaan sedia sudah gagal segala-galanya.

Tetapi persoalannya, adakah menyeret negara ke dalam krisis ketiga akan menyelesaikan krisis pertama dan kedua? Apa jaminan ketiga-tiga krisis itu dapat diselesaikan dalam sekelip mata kononnya dengan menggunakan pendekatan berani oleh pemimpin berwibawa? Pendekatan apa? Siapa pemimpin itu?

Masing-masing bercakap soal pendekatan, masing-masing seronok bercakap soal perlulah pemimpin berwibawa tetapi soalnya pendekatan apa dan siapakah pemimpin itu? Kenapakah pendekatan itu tidak didedahkan supaya mungkin ia boleh dijadikan perbahasan sama ada ia sesuai atau dilaksanakan? Kenapa ketika Parlimen bersidang orang yang menuduh kerajaan mengulangi kesilapan dalam menangani pandemik Covid-19 tidak membentangkan strateginya dalam Dewan Rakyat?

Kenapa membiarkan Dewan Rakyat menjadi huru-hara sehingga topik paling utama berkaitan membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 lenyap begitu sahaja? Sebaliknya dibangkitkan soal yang akhirnya mencetuskan krisis ketiga!

Kalau betul sudah memberi cadangan dan apabila cadangan itu tidak dilaksanakan, kenapa tidak mencari jalan perundingan untuk mengetahui kenapa ia tidak dapat dilakukan? Mesti ada sebab kenapa kerajaan tidak melaksanakannya. Tak kan ada cadangan yang baik kerajaan keberatan untuk melakukannya? Buat apa hanya tunjuk pandai di media sosial (tu pun setakat Facebook sahaja)..

Kenapa masing-masing ‘malu-malu’ hendak menyebut siapa calon Perdana Menteri, kecuali hari ini dalam kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, mereka merayu semua ahli Parlimen yang menolak Muhyiddin bersatu untuk menyokong Anwar.

Menarik juga dalam kenyataan itu yang turut dikeluarkan oleh Anwar dan mencalonkan Anwar, sekurang-kurangnya ada juga keberanian berbanding pemimpin-pemimpin UMNO berdegar-degar bercakap soal negara perlu Perdana Menteri baharu tetapi ‘kecut perut’ nak sebut siapa.

Apapun sekarang bukan waktu sesuai untuk mencetuskan huru-hara politik ketika negara berada dalam medan peperangan melawan Covid-19. Daripada mengeluarkan kenyataan politik yang hanya mengeruhkan keadaan dan meminta sokongan untuk melantik mana-mana individu menjadi Perdana Menteri, lebih baik buat seruan untuk semua bersatu dengan mengenepikan kepentingan politik bagi membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Kenapakah tidak boleh bersabar untuk menanti sidang Parlimen pada September? Kenapa tidak boleh bersabar merebut kuasa dalam pilihan raya yang pastinya boleh diadakan selepas pandemik Covid-19 diselesaikan? Kenapa mahu menghidangkan adegan politik yang memualkan kepada rakyat dengan menjadi pandemik Covid-19 sebagai modal?

Tetapi semua ini tidak akan berlaku jika kepemimpinan UMNO tidak mencetuskan pergolakan bermula 7 Julai lalu dengan menarik sokongan kepada Muhyiddin, diikuti pada 3 Ogos apabila parti itu menarik diri daripada Kerajaan PN, tetapi nasib baiklah langkah kedua itu tidak diikuti oleh sebahagian besar ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan, kalau tidak suasana akan lebih huru-hara.

Ketika ada kerajaan sekarang inipun, puak-puak yang mahu berebut kuasa sudah ‘meroyan’ apatah lagi kalau negara tidak ada kerajaan, suasana pasti lebih buruk.

Oleh itu jika ahli-ahli politik masih mempunyai naluri meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya, lakukanlah gencatan politik. Bergabunglah dalam membantu memerangi Covid-19. Ia memandangkan telatah atau huru-hara politik yang mereka  cetuskan tidak akan menguntungkan rakyat, sebaliklah menyebabkan rakyat terus menderita.

Kalau berasa ada kekuatan untuk menjatuhkan Muhyiddin buktikan di Parlimen pada September nanti, kalau berasa hebat dan boleh menumpaskan Kerajaan PN tunggu sahaja PRU-15. Kecualilah  mereka mahu menjadi Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya dan tidak  yakin parti mereka akan menang pilihan raya.

Kesimpulannya hentikanlah huru-hara politik ini demi rakyat sebelum rakyat membuat keputusan menolak ahli politik tidak kira siapapun mereka kerana tidak tahu berhenti politik merebut kuasa ketika rakyat dan negara susah.

Percayalah walaupun ada sedikit sebanyak perasaan tidak puas hati kepada kerajaan dalam menangani pandemik Covid tetapi ia tidak sampai mahu kerajaan tumbang dan Perdana Menteri dijatuhkan. Merekapun  faham yang dok ‘melobi’ untuk berkuasa belum tahu lebih baik kerana bercakap memang mudah, mengkritik memang senang, menghentam memang seronok…tapi bila dah ada kuasa, mula dok salah kerajaan dulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *