Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

BANK Negara Malaysia (BNM) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, perkembangan itu disokong terutamanya permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Menurutnya, pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

“Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua, namun kemudian menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa satu.

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

Daripada segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *