Oleh Abu Ubaidillah Rahman
ABANG Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang sudah mula sedar pada pukul 9 pagi ini.
Perkembangan tersebut disahkan isteri Ahmad Firdous kepada syarikat pengurusan, Indigital Music.
Pengurus Indigital Music, Nana Mohamad Rom berkata, keadaan Ahmad Firdous semakin stabil dan dikehendaki menjalani senaman untuk menguatkan paru-paru.
“Alhamdulillah, Ahmad Firdous sudah sedar. Isterinya memberitahu suami menghubunginya sendiri untuk memaklumkan keadaan perkembangannya terkini, pagi ini.
“Ketika sedang bercakap dengan Ahmad Firdous, isteri terdengar jururawat memanggil suami untuk melakukan senaman paru-paru,” katanya.
Pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual, suami arwah, Shuib Sepahtu memaklumkan keadaan abang iparnya tidak berapa baik, semalam.
Sebelum itu keadaan Ahmad Firdous dikongsi pelawak popular itu menerusi laman Instagram (IG), pagi semalam.
Bagaimanapun, perkembangan terkini Ahmad Firdous turut dikongsi Shuib dalam IG, pagi ini dengan memaklumkan gembira berkenaan.
“Allahuakbar. Allah Maha Besar. Syukur dah buka mata. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan.
“Tapi kita sambung lagi doa yang lain yang sedang bertarung nyawa. Kita nak semua orang kembali sihat.
“Balik jumpa keluarga. Amin.. Syukur Ya Allah,” tulis Shuib.
Leave a Reply