MB perjelas keabsahan kerajaan PN Johor dalam penggulungan sidang DUN

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad akan membuat penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan (DUN) Johor nanti.

Menurut Hasni, ini termasuk penjelasan mengenai sokongan serta pendirian UMNO Johor terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya berpendapat berkaitan dengan persoalan keabsahan Perdana Menteri daripada sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu akan diperjelaskan melalui dewan ini semasa ucapan penggulungan.

“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan kita perlu nyatakan pendirian kita dengan jelas.

“Saya percaya jika kita meletakkan kepentingan rakyat, kita tidak akan hadapi kesukaran untuk buat satu pendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dilaporkan berkata, Sidang DUN Johor hari ini, akan menentukan keabsahan kerajaan negeri.

Hasni berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan politik semasa dan perkara itu akan dibangkitkan serta dibincang pada sidang DUN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *