i-Guru minta KPM tangguh sesi pembukaan sekolah pada 1 September ini

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini kerana kes Covid-19 yang masih tinggi di ketika ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ini kerana majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika penularan wabak itu belum menunjukkan pengurangan ketara.

“Jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah September ini, beberapa langkah wajar diambil termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), selain menyelesaikan vaksinasi warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus.

“Kami berharap KPM dapat mempertimbangkan dan mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes COVID-19 yang melepasi angka 20,000 ketika ini.

“Pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), wajar diperoleh mengenai perkara ini. Jika kes semakin meningkat, ia membimbang dan merisaukan ibu bapa untuk hantar anak ke sekolah,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, pembukaan sekolah wajar ditangguh ke suatu tarikh yang bersesuaian sehingga menyakinkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar.

“Kami berharap KPM dapat membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains. Sebaiknya perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilanjutkan sehingga hujung tahun untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR,” katanya.

Katanya, langkah lain yang perlu diambil jika pembukaan sekolah kekal seperti dijadualkan September ini, termasuk vaksinasi ibu bapa pelajar tahun peperiksaan membabitkan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai usia 18 tahun.

“Perlu juga membentangkan SOP khas untuk pelajar belum menerima vaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah,” katanya.

Azizee berkata, pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutamaan kepada sekolah di luar bandar dan pendalaman yang kurang murid serta di kawasan hijau dan kadar penerimaan vaksinnya melebihi had imuniti kelompok, wajar juga diambil kira.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *