Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

MASJID Al-Amin di Kampung Semop, di Pulau Bruit, Daro dekat Sarawak musnah dalam satu kebakaran, petang ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

Namun katanya, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

“Sejurus sampai di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu,” katanya, hari ini.

Kata jurucakap itu lagi, kebakaran terbabit dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kejadian bagi mengenalpasti punca kejadian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *