Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa baginda apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat negara ini dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Baginda bertitah, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

Titah baginda, bukannya kepentingan diri sendiri perlu diutamakan sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat yang susah dan gelisah akibat pandemik Covid-19.

Titah baginda, ini bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *