Ibu, ayah, adik pergi selamanya akibat Covid-19 selepas terpengaruh dakyah golongan antivaksin

LURUH jantung seorang lelaki dari keluarga antivaksin apabila mengetahui ibu, ayah dan adik lelakinya meninggal dunia kerana Covid-19 dalam tempoh seminggu selepas enggan mengambil vaksin Covid-19, bulan lalu.

Memetik Mail Online, Francis Goncalves berkata, dia kehilangan adiknya Shaul, 40, ibunya, Charmagne, 65, dan bapanya Basil, 73, yang kesemuanya menetap di Portugal, awal Julai lalu akibat virus pembawa maut berkenaan.

Goncalves, 43, yang kini menetap di Cardiff, Wales mendedahkan, ahli keluarganya enggan divaksinasi selepas terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin.

Dia yang percaya virus itu menular dalam kalangan ahli keluarganya semasa mereka menikmati makan malam merayu orang ramai untuk mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap konspirasi Covid-19.

“Mereka (keluarga saya) terperangkap dalam propaganda antivaksin yang mencari mangsa orang yang takut dan mereka jatuh ke dalam perangkap itu.

“Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mengapa kerajaan tergamak menyakiti anda dengan memberi anda vaksin? Apakah tujuan di sebalik itu? Saya telah bercakap dengan banyak orang yang merasa takut dengan vaksin dan ia meragut banyak nyawa,” katanya.

Goncalves berkata, dia amat terkejut dengan kematian adiknya yang diketahui ‘orang paling sihat’ yang diketahuinya setelah ibunya berdepan masalah kesihatan dan bapanya dimasukkan ke hospital kerana batu karang.

Dakwanya, vaksin sepatutnya boleh menyelamatkan nyawa adiknya yang merupakan seorang vegetarian dan tidak minum alkohol selain kerap berjogging dan kerap mengeluarkan peluh di gimnasium.

Tragedi melibatkan Goncalves adalah kematian terbaharu membabitkan golongan antivaksin termasuk peminat sukan bina badan dan pendaki gunung, John Eyers, 42,.

Eyers meninggal dunia selepas enggan divaksinasi kerana percaya hidupnya akan baik sahaja tanpa vaksin.

Lulusan Universiti Cambridge, Leslie Lawrenson, 58, meninggal dunia di rumahnya di Bournemouth pada 2 Julai lalu, hanya sembilan hari setelah memuatnaik rakaman di Facebook yang menjelaskan mengapa tidak perlu takut dengan Covid-19.

Data menunjukkan, dua dos vaksin Covid-19 AstraZeneca yang paling banyak digunakan di United Kingdom mengurangkan risiko kematian akibat penyakit itu sebanyak 94 peratus dalam kalangan mereka berusia 65-an.

Statistik Imperial College London juga menunjukkan dos dua Astrazeneca adalah 55 peratus berkesan untuk menyekat gejala varian ‘Delta’ sementara peratusan keberkesanan untuk dua dos Pfizer atau Moderna dipercayai dalam lingkungan 85 peratus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *