Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang lelaki warga emas ditahan polis berikutan penularan video memaparkan dirinya yang dikatakan menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, individu berusia 61 tahun itu ditahan di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan kira-kira pukul 3.57 pagi tadi.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung tindakan lelaki itu yang dilakukan oleh seorang daripada Pegawai Khas Menteri Besar, semalam.
“Hasil siasatan yang dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Lenggeng, Negeri Sembilan.
“Sebuah telefon bimbit turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Sungai Petani, hari ini.
Menerusi video berdurasi 9 minit dan 19 saat itu, individu berkenaan mengeluarkan kata-kata yang agak kesat terhadap Muhammad Sanusi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Besar itu berjenaka mengenai isu kontena penyimpanan mayat, baru-baru ini.
Sambil beberapa kali mendedahkan nombor telefonnya, individu berkenaan yang berbaju Melayu dan berkopiah putih turut mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk menghubungi dirinya.
Adzli berkata, suspek didapatti memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang kini masih dalam siasatan.
“Permohonan reman telah dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret SUngai Petani. Suspek akan diberi jaminan polis setelah keterangannya diambil,” katanya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, individu berkenaan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala untuk Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Leave a Reply