Oleh Abu Ubaidillah Rahman
TINDAKAN tegas kepada para peniaga yang menjual minyak sawit tulen (botol) di Selangor melebihi harga maksimum bermula hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu dilaksanakan kerana terdapat segelintir peniaga yang masih meletakkan harga melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Antara alasan yang diberikan adalah tidak peka berkaitan harga kawalan yang ditetapkan dan peniaga berkenaan mengambil tindakan segera.
“Sepanjang tempoh pemeriksaan yang dilakukan bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos lalu, pejabat KPDNHEP Selangor telah mengeluarkan 21 amaran bertulis dan tiada tindakan kes diambil ketika ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan dan pemantauan ulangan akan diambil ke atas premis-premis yang telah diberi amaran dan sekiranya masih berlaku pelanggaran oleh pihak peniaga, tindakan kes akan dikenakan bermula 9 Ogos.
Tambah beliau, KPDNHEP telah mewartakan kawalan harga maksimum minyak masak sawit tulen pada 28 Julai dan menetapkan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulen diperingkat runcit adalah mengikut pembungkusan iaitu Botol 1 kilogram (kg) RM6.70, botol 2kg RM12.70, botol 3kg RM18.70 dan botol 5kg RM29.70.
Leave a Reply