PERKARA 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menyebut, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.
Justeru, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berdasarkan undang-undang tersebut, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, susulan penyandangnya Dr. Md. Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April lepas.
“Sehubungan itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Md. Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.
Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.
Leave a Reply