Sempat buat panggilan video terakhir, Shuib janji jaga empat anak sebaik mungkin

SELEBRITI dan usahawan, Shuib Sepahtu berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan sebaik mungkin.

Perkara itu dinyatakan Shuib, 37, semasa ditemui pemberita di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Allahyarham isterinya sempat menghadiahkannya dan anak menerusi kehadiran cahata mata keempat, Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu.

“Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Allahyarham sempat memeluk anaknya sebelum dimasukkan ke hospital.

Selain Ayash Affan, tiga lagi anak Shuib dan Siti Sarah ialah Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.

Mengulas lanjut, Shuib memberitahu, dia sempat membuat panggilan video ketika arwah isterinya, Siti Sarah sedang nazak menerusi bantuan jururawat dan doktor.

Jelasnya, dia dan tiga anaknya dapat melihat air mata membasahi pipi arwah ketika panggilan video itu seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.

“Itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.

Sementara itu, Shuib berkata, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari ini.

Shuib memberitahu, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya.

“Saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya,” katanya.

Menurut Shuib, urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.

Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia HCTM, Kuala Lumpur, pada pukul 5,13 pagi hari ini.

Allahyarham dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar pada petang pada Jumaat lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *