Oleh: Bernama
BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) berjaya merampas 110 ekor kambing baka Boer bernilai RM165,000 yang disyaki diseludup dari Thailand di Lubok Jong, di sini Sabtu lepas.
Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan hasil tindakan pantas sepasukan anggota Strike Force PGA9 ketika rondaan berkala yang mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan berdekatan lampu isyarat menghala ke Tanah Merah pada 11.30 malam.
Beliau berkata lori berkenaan telah memintas kenderaan pasukan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum diekori.
“Tindakan penguat kuasa mengekori lori itu bagaimanapun disedari pemandu lori sebelum dia memberhentikan kenderaan itu di satu kawasan perumahan berhampiran.
“Pemandu lori kemudiannya dilihat turun dari lori dan melarikan diri ke dalam hutan kecil berdekatan dan gagal dikesan kerana keadaan gelap. Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 110 ekor kambing baka Boer disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Azizan berkata susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM295,000 termasuk sebuah lori bernilai RM130,000.
“Kesemua rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953,” katanya.
Difahamkan, kambing baka Boer itu bernilai tinggi dan turut mendapat permintaan termasuk dari luar Kelantan.- BERNAMA
Leave a Reply