Pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) adalah dibenarkan untuk memperbaharui Sijil Perakuan Amalan Tahunan dengan mata pembangunan profesional berterusan (CPD) minimum, kosong mata.
Presiden MPM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat majlis itu pada 27 Julai adalah terpakai kepada Pegawai Perubatan Siswazah yang memiliki Sijil Pendaftaran Sementara dengan MPM dan menamatkan latihan siswazah.
“Pemberian kosong mata CPD minimum ini akan diberikan bagi dua tahun pertama permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan mereka setelah didaftarkan penuh.
“Keputusan ini dibuat memandangkan pengumpulan mata CPD bukan suatu perkara yang diwajibkan dalam tempoh latihan siswazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MPM prihatin terhadap rintihan golongan itu yang belum terdedah dengan kriteria bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan dan tempoh kitaran mata CPD, selain ada antaranya yang tidak dapat memenuhi kriteria itu kerana didaftarkan penuh setelah tamat tempoh kitaran tahun CPD.
Dr Noor Hisham yang juga Ketua Pengarah Kesihatan menyeru agar pengamal perubatan yang baharu didaftarkan sentiasa memastikan penjagaan pesakit berada di tahap yang terbaik dengan menghadiri aktiviti CPD berterusan bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.
Satu daripada kriteria permohonan bagi Sijil Perakuan Amalan Tahunan adalah keperluan mata CPD minimum sebanyak 20 mata dan perlu dikumpul dalam tempoh kitaran tahun CPD yang ditetapkan iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 Jun tahun hadapan, selaras dengan Peraturan 28(2)(b) Peraturan-Peraturan Perubatan 2017.
“Sebagai contoh, permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi tahun 2022, mata CPD perlu dikumpul dalam tempoh bermula daripada 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2021,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply