MCA terus sokong PN kerana berpegang dengan keputusan kolektif BN

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MCA kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana berpegang dengan keputusan dibuat Barisan Nasional (BN) secara kolektif yang sudah dipersetjui sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pendirian itu tidak bermaksud MCA sudah lupa sebaliknya sentiasa mengenang budi dan tidak lupa jasa bakti UMNO dan parti komponen serta rakan BN.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, selagi ketetapan BN itu tidak diubah, MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang telah diluluskan secara konsensus dalam BN sebagaimana diamalkan sejak sekian lama.

Jelas beliau, MCA juga seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung MCA, 7 Mac lalu bahawa parti kekal bersama BN, sebuah gabungan parti yang diasaskan bersama UMNO, MCA dan MIC sebelum kemerdekaan negara lagi.

Beliau mendedahkan, pada 29 Julai lalu semua Ahli Parlimen BN diminta untuk hadir ke Bilik Mesyuarat Tingkat 3 Blok Ahli Parlimen untuk membincangkan pendirian bersama.

“Majoriti Ahli Parlimen BN hadir termasuk Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Arthur Kurup dan saya.

“Saya turut menyokong keputusan bersama yang dibuat oleh Ahli Parlimen BN kerana ia selari dengan ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN pada Mac 2020.

“Ya betul, MCA adalah rakan setia UMNO dan MIC. Masa senang kita bersama dan ketika susah juga kita tetap bersama.

“Kerana apa? Kerana kita berpegang kepada semangat BN serta mengamalkan konsep musyawarah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Beliau menegaskan persahabatan itu berdasarkan prinsip dan nilai sejagat yang dipegang dan dipersetujui bersama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *