Ceroboh perairan negara, 6 nelayan Vietnam, ditahan Maritim

ENAM nelayan Vietnam yang menaiki sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang kerana melanggar syarat sah lesen, kira-kira 24.2 batu nautika timur dari muara Sungai Nenasi, Rompin. Pahang.

Menurut Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, nelayan tersebut ditahan ketika rondaan Op Makmur dilakukan di perairan Pahang dan anggotanya mengesan sebuah bot sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, bot berkenaan cuba melarikan diri sebaik dihampiri dalam operasi pukul 12 tengah hari kelmarin.

“Setelah pemeriksaan dibuat,mendapati bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam kru, termasuk tekong dan orang kurang upaya (OKU) yang semuanya warga Vietnam berusia antara 26 dan 53 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan juga mengemukakan dokumen pengenalan diri meragukan.

“Semua kru bot terbabit kemudian dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut.

“Mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Rompin, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *