Agong, Permaisuri sifatkan pemergian Ishak Alwi satu kehilangan besar

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pemergian bekas pelumba basikal kebangsaan, Ishak Alwi satu kehilangan besar dalam sukan lumba basikal negara.

Baginda dan permaisuri yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan menerusi Facebook rasmi Istana Negara hari ini turut menyatakan kesedihan atas pemergian Allahyarham.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada negara amat dihargai. Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran itu.

Allahyarham yang merupakan adik kepada seorang lagi pelumba basikal negara, Rosman Alwi, terkenal dalam acara pecut dan satu kilometer ujian masa pada era 80-an.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan lumba basikal kebangsaan di Kejohanan Remaja Dunia di Paris, Perancis pada 1984.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *