PADAH berseronok menganjurkan majlis sambutan hari lahir, seramai 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam ditahan polis di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Butterworth, di sini malam tadi.
Serbuan pukul 11 malam itu dilakukan selepas polis menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bunyi bising di unit kondominium tingkat 19 berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, turut ditahan bersama tiga wanita Vietnam itu ialah lapan lelaki tempatan kesemuanya berumur antara 19 hingga 35 tahun.
Ujarnya, mereka yang ditahan merupakan bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.
Jelas beliau, siasatan mendapati rumah tersebut di sewa dua lelaki dan wanita warga Vietnam yang merupakan pasangan kekasih.
“Ketika serbuan dilakukan difahamkan mereka baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi muzik yang kuat.
“Pemeriksaan mendapati sambutan hari lahir itu dianjurkan seorang daripada lelaki yang menyewa di situ untuk menyambut hari jadi teman wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya mengajak enam lagi rakan lelakinya bagi meraikan bersama-sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua lelaki yang menyewa rumah itu mengenali wanita Vietnam berkenaan ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung.
Jelas beliau, polis tidak menemui sebarang dadah di rumah tersebut ketika serbuan namun ujian air kencing mendapati empat lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas speaker, belon dan perhiasan sambutan hari lahir tersebut dan mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam masa sama, Rahimi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Kita turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Leave a Reply