RoS nafi pilih kasih, dakwa Pas tangguh pemilihan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pihaknya mengamalkan pilih kasih dalam menentukan penangguhan pemilihan parti antara UMNO dan Pas.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kassim berkata, tidak timbul RoS mengamalkan pilih kasih apabila tidak menghalang Pas dari menangguhkan pemilihan jawatan kepimpinan parti terbabit.

“Pas memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti pada kita tempoh kepimpinannya belum tamat tempoh.

“Pas kemukakan penangguhan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat,” katanya sebagaimana lapor portal MalaysiaNow.

Semalam, Najib mempersoalkan keputusan RoS yang mengatakan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan sebagai tidak sah.

Hujah yang diberikan adalah tempoh pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.

Najib berkata langkah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti turut dilakukan Pas namun tidak mendapat apa-apa tindakan dari RoS.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 7 Mac lalu memaklumkan partinya menangguhkan pemiihan parti sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *