PARA pemimpin di negara ini perlu memiliki nilai-nilai kepimpinan yang baik dengan menjadikan masalah rakyat sebagai keutamaan.

Malah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemimpin yang baik ialah mereka tidak mengelirukan dan menyusahkan rakyat dengan pelbagai usaha sia-sia ketika negara sedang berhadapan dengan masalah Covid-19.

Justeru kata Ahmad Samsuri, dalam situasi getir seperti ini pemimpin sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat mengadu nasib dan berlindung agar keperitan mereka mendapat pembelaan.

Beliau berkata, dalam situasi Covid-19 pada masa ini, semua pihak sewajarnya perlu bekerjasama tanpa mengira usia atau pangkat.

“Kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan untuk membantu rakyat yang berada dalam kesulitan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan.

“Semangat toleransi, saling hormat-menghormati yang menjadi adunan penting bagi mengekalkan kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini perlu dipertahankan sampai bila-bila sebagai kekuatan, keunikan dan tonggak utama kesejahteraan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut meminta orang ramai agar dapat menghayati semangat perjuangan tokoh-tokoh lama yang sanggup bekorban apa sahaja demi mempertahankan negara.

Menurut beliau, bagi orang Terengganu, semangat pengorbanan Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh yang ingin keluar dan merdeka perlu dijadikan contoh dalam usaha kita bebas daripada dugaan pandemik Covid-19.

“Generasi terdahulu sanggup mengorbankan jiwa raga, harta benda dan tenaga supaya negeri serta negara kita dapat dibebaskan daripada cengkaman penjajah.

“Sepatutnya prinsip yang sama juga perlu dilakukan untuk merdeka daripada dugaan pandemik Covid-19 ini. Kita tidak akan berjaya selagi tugas memerangi pandemik diserahkan kepada barisan hadapan dan kerajaan semata-mata,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here