Ketua UMNO Alor Setar sokong Kerajaan PN tadbir negara sehingga PRU-15

Oleh RIZQI ZABIDI

KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail hari ini menzahirkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus mentadbir negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa sedikit pun berpaling daripada taat setia kepada perjuangan UMNO.

Menurutnya, sokongan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk sesudah meneliti kenyataan dikeluarkan pemimpin UMNO dari seluruh tanah air.

“Sekiranya kerajaan PN ini jatuh, maka negara akan sekali lagi terjerumus dalam krisis politik yang akan memberi kesan kepada usaha pemulihan akibat Covid-19.

“Langkah ini juga sebagai sokongan kepada program vaksinasi yang berjalan kini, bagi mencapai imuniti kelompok supaya rakyat dapat kembali membina kehidupan yang amat terkesan buat masa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, sokongan itu juga dibuat selepas mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan PN diteruskan hingga keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen, September depan.

“Baginda juga pernah bertitah sebelum ini meminta semua pihak mengenepikan fahaman politik dan bersama dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *