GPS terus sokong PM, PN gesa henti politiking sementara

GABUNGAN  Parti Sarawak (GPS) yang menyatakan pendirian terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak menghentikan sementara politiking.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat serta negara yang sedang berdepan ancaman pandemik covid-19, hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

‘’Semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing- masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan. Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam perjumpaan khas dengan Pengerus GPS, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS di Kuching, gabungan itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan .

‘’GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap beliau  pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan Perlembagaan,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *