Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

MENAMPUNG perbelanjaan harian dan bulanan menjadi pilihan utama kira-kira 62 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menyatakan tujuan permohonan i-Citra yang dibuka Julai lalu.

Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata, pilihan kedua terbanyak ialah menyelesaikan hutang pencarum dengan 16 peratus permohonan

Selain itu katanya, sebanyak lapan peratus permohonan i-Citra memilih tujuan membantu ahli keluarga terjejas akibat pandemik dan tujuan lain (perbelanjaan bekerja dari rumah, keusahawanan, pendidikan, bukan keperluan penting, pelaburan)

“Baki enam peratus lagi menyatakan mereka mengeluarkan i-Citra untuk tujuan menambah simpanan kecemasan,” katanya hari ini.

Permohonan i-Citra dibuka pada 15 Julai lalu selepas diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 28 Jun lalu.

Bayaran pengeluaran telah dibuat secara berperingkat bermula 2 Ogos lalu.

Ia membolehkan ahli yang layak membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Dalam pada itu, Nurhisham berkata, sejumlah RM2.3 bilion pembayaran i-Citra disalurkan kepada 4.57 juta pemohon setakat 4 Ogos lalu.

Ujar beliau, pihaknya menerima 4.62 juta permohonan membabitkan jumlah RM19.3 bilion dengan RM19.1 bilion diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

“Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta pula ditolak disebabkan oleh simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun dan pemohon membatalkan permohonan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *