Oleh Abu Ubaidillah Rahman
Parti teras Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kedua-dua parti tersebut berpegang teguh kepada ketetapan dibuat komponen BN pada tahun lalu dan pendirian itu tidak berubah.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkata Biro Politik parti itu sudah membuat keputusan untuk membawa ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu ketika menyertai PN.
“Keputusan itu adalah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil membawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.
“Kita akan bersama kerana kita mementingkan rakyat, soal COVID-19 yang sedang kita uruskan, dan akhirnya rakyat membuat keputusan,” katanya semasa membuat pengumuman itu di Auditorium Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, berkata partinya turut berpegang kepada pendirian sama dan segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN.
“Setakat ini kita memang pegang kepada keputusan pucuk pimpinan MIC dan BN. MCA dan MIC tetap akur dengan keputusan BN sebab kami diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN.
“Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan),” katanya.
Saravanan berkata, persoalan terbesar ahli akar umbi BN ketika ini, adakah jumlah 41 kerusi yang dimiliki, apakah hala tuju gabungan itu selepas membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Bukan saya sahaja, satu Malaysia samar apa pendirian BN keluar (kerajaan)? Kerajaan jatuh? Apa nak jadi?
“Dengan kes COVID-19 meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik lagi. Sampai satu Malaysia tidak tahu jawapan,” katanya.
Leave a Reply