Kenapa kalut kira angka Ismail Sabri…tunggu saja September

BEBERAPA jam selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pendirian 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk kekal dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), maka pemimpin pembangkang dan beberapa orang pemimpin UMNO mula menjadi ‘pakar matematik’.

Mereka ‘mengucapkan’ terima kasih kepada Ahli Parlimen Bera itu kerana mendakwa jumlah yang dinyatakan membuktikan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada majoriti.

Persoalannya, betulkah Perdana Menteri tidak ada majoriti? Yakinkah mereka ada dalam kalangan mereka ‘tidak bermain mata’?

Kalau mereka begitu yakin bahawa Muhyiddin memang tidak ada majoriti dan mereka ada majoriti maka tunggulah sahaja bulan September bukannya ‘terloncat-loncat’ mendesak supaya sidang Parlimen yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong diadakan pada September bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan, dilaksanakan segera.

Kenapa kalut nak disegerakan? Jika betul mereka ada majoriti bawa bersabar, kumpulkan betul-betul kekuatan dan pastikan ia berjaya dibuktikan ketika sidang Parlimen lagi. Selain itu, ‘standby’ juga nama calon Perdana Menteri kalau benar mereka mempunyai angka ‘ yang kukuh dan menyakinkan’.

Seperkara lagi, kenapa pula hanya menumpukan perhatian kepada angka yang disebut oleh Ismail Sabri, kenapa tidak memperkatakan tentang kenyataan beliau bahawa pendirian yang dibuat adalah untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu memperkenankan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran dan akan menentukan keabsahan kerajaan di Parlimen?

Kenapa tidak bercakap soal derhaka yang disebut oleh Ismail Sabri? Apabila beliau berkata, ‘’Jadi tidak timbul isu yang mengatakan ahli Parlimen derhaka dan sebagainya, mungkin yang derhaka ialah pihak yang melanggar titah daripada Agong supaya perkara ini dibawa ke dalam Parlimen pada September.’’

Bukankah sebelum ini begitu hebat sekali pemimpin pembangkang dan segelintir pemimpin UMNO menuduh Perdana Menteri dan Kerajaan derhaka dalam isu pembatalan Ordinan Darurat. Kenapa apabila Ismail Sabri melaksanakan tindakan berdasarkan perkenan Seri Paduka, mereka lebih cenderung bercakap soal ada majoriti atau tidak?

Oleh itu, tidak payahlah membuang masa untuk menghitung angka. Duduklah diam-diam menanti September kerana buat masa ini semua jemaah menteri sedang bertungkus-lumus menangani Covid-19. Seperti mana kata Ismail Sabri;

‘’Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab terutamanya dalam kalangan menteri yang diberikan tugas di barisan hadapan menyelesaikan isu yang berkaitan dengan pandemik Covid dan penyelesaian isu ekonomi rakyat kita merasakan tidak bertanggungjawab kalau kita meninggalkan kerajaan ini secara tergesa-gesa seperti diarahkan parti.’’

Hentikanlah polemik berhubung siapa ada majoriti. Tumpu perhatian kepada usaha mengekang penularan Covid-19. Kalau tak mahu bantu kerana bimbang populariti naik, jangan dok buat onar dengan memporak-perandakan politik negara.

Dan di hari Jumaat penuh syahdu ni, ingatlah Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksu;

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Justeru dalam keghairahan mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan PN, jadikanlah ayat ini sebagai pegangan menanti September.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *