MALAM tadi, kesemua ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan telah menerima surat daripada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ia bukanlah surat amaran mahupun pemecatan tetapi surat memberi pilihan kepada mereka sama ada tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan meletakkan jawatan yang dilantik dalam kerajaan ATAU menyokong kerajaan PN dan tidak akan meletakkan jawatan yang dilantik oleh Kerajaan PN.

Mungkin Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berasa bangga kerana kononnya ia menunjukkan ketegasan beliau tetapi hakikatnya surat itu hanya menampakkan  betapa ‘kejamnya’ politik kepemimpinan UMNO.

Tindakan memberikan pilihan kepda ahli-ahli Parlimen UMNO tersebut yang empat daripada mereka memainkan peranan cukup penting dalam usaha kerajaan memerangi Covid-19 telah membuktikan kepemimpinan UMNO sudah tidak peduli apa kesannya kepada rakyat dan negara. Lebih daripada itu ia membuktikan agenda politik peribadi, dendam dan amarah mengatasi segala-galanya.

Jika kesemua ahli-ahli Parlimen tersebut khususnya mereka yang berada dalam Kabinet tunduk kepada tekanan atau ‘ugutan’ politik seumpama itu, ia akan menyebabkan kekalutan yang amat hebat kepada negara yang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Tetapi adakah Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin yang menyokongnya akan mempedulikan semua itu? Sudah tentu tidak! Apa yang mereka pentingkan ialah melaksanakan agenda menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menumbangkan Kerajaan PN yang dahulu mereka sendiri ‘terhengeh-hengeh’ mahu menyertainya selepas kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penyerahan surat kepada ahli-ahli Parlimen UMNO itu juga membuktikan betapa buruk amalan ‘double standard’ dalam parti yang kononnya Presidennya bercakap soal UMNO mencari keredhaan Allah dalam perjuangannya.

Kalau benarlah mahu mencari keredhaan Allah maka tindak tanduk juga harus adil dan saksama, kenapakah baru sekarang kepemimpinan UMNO bercakap soal ‘’’adalah perlu untuk mana-mana Ahli UMNO mematuhi dan menghormati segala perintah dan keputusan parti selaras dengan Fasal 20.9(b) dan Fasal 20.9(d)’’.

Di manakah Fasal ini dicampakkan ketika isu surat Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang sehingga kini beliau tidak nafikan? Di manakah Fasal ini ‘disembunyikan’ ketika tersebar rakaman audio mirip suara Ahmad Zahid bercakap dengan Anwar ketika Perhimpunan Agung UMNO.Inipun Zahid tak buat laporan polis walaupun menganggap ia politik jijik.

Bukankah Fasal itu boleh juga dikenakan kepada Ahmad Zahid kerana sebagai ahli UMNO beliau perlu mematuhi dan menghormati keputusan parti dalam soal ‘No Anwar, No DAP’? Tetapi kenapa pemimpin-pemimpin UMNO  diam membisu? Kenapa semua bagaikan ‘ayam berak kapur’ termasuk Ahmad Maslan si penghantar surat? Di mana suara pemimpin-pemimpin bertaraf ‘batu api’ yang selama ini begitu galak menyerang pemimpin UMNO dalam kerajaan? Di mana suara pemimpin-pemimpin Pemuda?

Hakikatnya  apa yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO dengan memberi surat kepada ahli-ahli Parlimen tersebut adalah sikap hipokrit kelas tertinggi.

Atas sebab itulah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz melakukan tindakan yang betul apabila menegaskan beliau tidak akan menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO itu.

“Saya mengesahkan telah menerima surat daripada Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp hari ini. Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Ini jelas menerusi audio perbualan beliau dengan Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini.Selain itu saya sudah menyatakan Zahid perlu berjumpa semua Ahli Parlimen UMNO dan menjelaskan apa yang beliau lakukan tapi sampai sekarang dia tak nak jumpa,” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, Nazri juga menegaskan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) beliau hanya akan akur dengan keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN.

“Saya adalah Ahli Parlimen BN, jika Dewan Tertinggi BN mengarahkan saya menarik sokongan barulah saya akan tarik sokongan,” katanya lagi.

*Antara lafaz sumpah dan Perlembagaan UMNO

Ketegasan Nazri itu perlu dicontohi oleh ahli-ahli Parlimen UMNO lain. Mereka seharusnya tidak gentar dengan ‘politik ugut’ tersebut. Ia memandangkan sebarang tindakan untuk menarik sokongan kepada kerajaan ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan satu ‘kekejaman’ kepada rakyat.

Fikirkanlah apa akan berlaku jika kerajaan ini tumbang sedangkan empat menteri UMNO memainkan peranan utama iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin.

Adakah mereka tergamak untuk meninggalkan negara dalam keadaan terkontang kanting dan nyawa rakyat terancam hanya semata-mata memuaskan nafsu politik kepemimpinan UMNO? Surat yang diberikan oleh Ahmad Maslan sekadar berkaitan Perlembagaan parti sahaja bukan seperti mana lafaz sumpah ketika mereka menjadi anggota Kabinet yang berbunyi;

“Saya, ……………………………………………………, setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan ……………………………………………………… dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu* dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Dan sekarang kesemua mereka dalam Kabinet sedang menunaikan kewajipan seperti mana terkandung dalam angkat sumpah tersebut justeru adakah mereka bersedia dituduh melanggar sumpah?

Apa yang sedang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO adalah bermotif politik semata-mata justeru ahli-ahli Parlimen tersebut tidak seharusnya tunduk apatah lagi bersekongkol . Mereka perlu kekal berada dalam Kerajaan dan meneruskan tanggungjawab menguruskan negara dan rakyat yang kini sedang berperang dengan Covid-19.

*Jawab sokong penuh kena, jawab tak sokong pun kena

Perlu diingat apa pun jawapan yang mereka berikan dalam surat Ahmad Maslan itu, sama ada menyokong atau tidak menyokong Kerajaan PN – mereka ‘sudah tidak selamat’ lagi. Mungkin nama mereka tidak akan disenaraikan lagi dalam PRU-15 nanti. Bak kata orang ‘jawab sokong pun kena’, ‘jawab tak sokong pun’ kena!

Oleh itu daripada meletakkan jawatan yang boleh dianggap tindakan sia-sia seperti mana dikehendaki oleh kepemimpinan parti adalah lebih baik mereka meneruskan kewajipan sebagai anggota Kabinet demi kepentingan rakyat dan negara.

Kalau ditakdirkan mereka akan dipecat daripada UMNO kerana dianggap melanggar arahan parti terimalah dengan redha kerana UMNO bukannya satu-satu parti politik di negara ini. Apa yang penting ialah rakyat dan negara.

Adalah tidak wajar sama sekali mereka meninggalkan tugas yang diamanahkan semata-mata bimbang dipecat daripada parti. Jangan bimbang rakyat sedang memerhati gelagat kepemimpinan UMNO, justeru ahli-ahli Parlimen tidak boleh mengalah.

Penulis percaya, majoriti ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi akan menyokong pendirian mereka kerana ahli-ahli Parlimen itu mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung UMNO yang menetapkan parti itu akan terus bersama Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan yang dibuat oleh MT bukan demi rakyat dan negara seperti mana mereka canangkan sebaliknya ia semata-mata kerana politik. Jika benar demi rakyat dan negara, MT UMNO tidak akan membuat keputusan tersebut dalam situasi negara sekarang.

Ketegasannya yang ditunjukkan oleh Nazri, Datuk Seri Idris Jusoh dan beberapa lagi ahli Parlimen UMNO yang tegas mahu meneruskan perjuangan bersama Kerajaan PN demi rakyat dan negara harus dijadikan pembakar semangat. Yakinlah Allah bersama orang yang benar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here