KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap nasib rakyat memerlukan di negara ini terserlah apabila Seri Paduka berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga yang memerlukan bantuan di Kampung Gading, Rompin, Pahang, semalam.
Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 10 keluarga itu yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas serta ibu tunggal.
Dalam lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa di setiap rumah dan menyantuni ahli-ahli keluarga tersebut yang mencerminkan keperibadian tinggi Baginda terhadap golongan yang memerlukan.
“Semoga sumbangan Seri Paduka ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya dalam menghadapi tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu yang dilaksanakan oleh kerajaan,” menurut hantaran itu yang turut memuat naik beberapa keping gambar lawatan tersebut.
Keberangkatan Seri Paduka itu diiringi Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Leave a Reply