Oleh Mohd Lazim Endut
KERAJAAN Pas Terengganu sentiasa teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin kerajaan Pas negeri tidak tergugat dengan penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN.
Menurutnya, walaupun terdapat segelintir pihak yang mendakwa mempunyai lebih sokongan untuk membentuk kerajaan, namun hakikatnya blok pimpinan Muhyiddin adalah terbesar buat masa ini.
“Ia macam pasaran saham, pukul 10 pagi ada nilaian tertentu dan 30 minit kemudian nilainya menjadi lain, jadi kita kena tunggu dan lihat dari semasa ke semasa mengenai perkembangannya.
“Blok yang dipimpin Perdana Menteri adalah blok terbesar berbanding yang lain walaupun mereka membuat pelbagai andaian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden pas berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat dengan menambah lagi seksaan baharu demi kepentingan politik dan peribadi mereka hingga sanggup mengheret parti dan negara,” ujarnya.
Leave a Reply