HUBUNGAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan sebagai ‘istimewa.’
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata demikian ketika merujuk sikap Muhyiddin yang sentiasa memulakan Mesyuarat Jemaah Menteri dengan menyampaikan titah Seri Paduka termasuk teguran sekali gus menyelar tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Perdana Menteri sebagai derhaka.
“Minggu ini sahaja, tiga kali Muhyiddin menghadap Tuanku iaitu waktu berlaku kekeliruan pindaan Ordinan Darurat pada 28 Julai, sebelum mesyuarat Kabinet pada 29 Julai dan hari ini menghadap lagi.
“Orang yang derhaka, Tuanku tidak benarkan masuk Istana Negara. Yang tahu derhaka atau tidak derhaka itu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini yang membincangkan tajuk ‘Politik: Apa lagi selepas ini?’
Annuar turut menyifatkan Muhyiddin sebagai individu yang sangat menjaga hubungan dengan institusi diraja, seterusnya tuduhan derhaka yang dilemparkan kepadanya tidak patut dibangkitkan.
“Kebetulan saya ada pengalaman duduk dalam Kabinet Perdana Menteri lain, dari (masa) Dr Mahathir Mohamad… dan sekarang bawah Muhyiddin.
“Dari segi perhubungan dengan Agong cukup istimewa, beliau tanpa gagal sebelum pengerusikan mesyuarat Kabinet akan menghadap. Ada Perdana Menteri tak begitu, menghadap (cuma) bila perlu, tapi Muhyiddin setiap Rabu Tuanku terima menghadap.
“Menjadi amalan Perdana Menteri memulakan setiap mesyuarat Kabinet dengan menyampaikan titah dan pandangan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda banyak memberi pandangan, teguran dan ia sentiasa diterima pakai oleh kerajaan,” katanya.
Menurutnya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seorang yang cukup mengambil berat soal pentadbiran kerajaan dan setiap apa yang dibincangkan jemaah menteri akan disemak baginda.
“Jadi di mana timbul soal derhaka? Ia dicipta oleh orang yang nak jatuhkan kerajaan,” katanya.
Mengulas keputusan yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, Annuar berkata di saat semua menteri memfokuskan usaha mendepani Covid-19 langkah meninggalkan kerajaan secara terburu-buru boleh membantutkan segala perancangan.
“Rakyat tengah susah kita nak tinggal begitu. Katakan Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang fokus soal vaksin ketika ini tiba-tiba nak keluar kerajaan, begitu juga Datuk Seri Dr Adham Baba jaga kesihatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Kebetulan mereka semua dari UMNO, semua ada tanggungjawab, jadi kita kena fikir betul-betul yang mana perlu didahulu dan yang mana kena tunggu, tapi kerja pada rakyat harus dilakukan,” katanya.
Annuar berkata Perdana Menteri mengambil langkah yang tepat dan berani bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air.
Katanya jika polemik politik itu dibiarkan berpanjangan, ia akan mengganggu tanggungjawab kerajaan yang sedang bertungkus-lumus berjuang dengan cabaran besar iaitu pandemik Covid-19.
Beliau juga menyifatkan pembentangan usul undi percaya kepada Muhyiddin pada sidang Parlimen bulan depan sebagai profesional dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Leave a Reply