SELAMA dua hari berturut-turut Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi meneruskan agenda untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Majlis Presiden yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin manakala ‘anak murid’ beliau dalam UMNO, Ahmad Zahid pula terus memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO supaya meletakkan jawatan dalam kerajaan atau dipecat.
Walaupun dalam kelompok berbeza tetapi mereka bagaikan ‘sehati sejiwa’ dalam melaksanakan misi mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan PN.
Tekanan dua penjuru itu menunjukkan Anwar dan Zahid seolah-olah tidak sabar lagi menanti September ini untuk membuat penentuan di Dewan Rakyat apabila undi percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan.
Sememangnya aneh, ketika kedua-dua mereka mendakwa mempunyai bukti Muhyiddin sudah tidak ada majoriti, pada masa sama mereka kelam kabut mahu sidang Parlimen diadakan segera bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri.
Kalau mereka yakin sudah ada majoriti, kenapa ‘panik’ mahukan Muhyiddin buktikan segera. Bukankah Yang di-Pertuan Agong telah perkenan usul percaya di Parlimen? Tunggu sahajalah September. Adakah mereka bimbang ada dalam kalangan ahli Parlimen mereka yang ‘beralih arah’ menjelang bulan September?
Tuduhan Pakatan Harapan bahawa Muhyiddin tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam adalah satu tuduhan yang berat. Begitu juga dengan menuduh ia satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Negara.
Sama ada Muhyiddin melakukan perbuatan itu atau tidak, tunggulah September. Sebab itulah semalam Perdana Menteri menegaskan,;
‘’Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.
‘’Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.
‘’Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.
Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.’’
Boleh sahaja PH berkata,’’ setelah pimpinan membuat perkiraaan yang teliti bersama rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Muhyiddin, ternyata dia tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam.’’
Memanglah kalau buat kiraan kasar berdasarkan jumlah pembangkang yang ada ditambah dengan jumlah ahli Parlimen UMNO yang tarik sokongan, Muhyiddin nampak tiada majoriti.
Tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang tahu ke secara terperinci senarai SD yang Muhyiddin serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong? Bagaimana kalau ada dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang muak percaturan politik yang sedang dilakukan oleh ketua-ketua mereka, ‘senyap-senyap’ menyokong PN?
Bagaimana pula dengan laporan yang menyatakan terdapat dua akuan bersumpah, satu menyokong PN tetapi tidak menyokong Muhyiddin dan satu lagi menyokong Perdana Menteri dan PN?
Sebab itulah cara terbaik buktikan sokongan masing-masing di Parlimen, bukan kiraan atas kertas. Apa yang nak risau? Jumlah sokongan kepada pembangkang tidak akan berubah sebab bukankah ahli-ahli Parlimen semuanya mempunyai integriti tinggi? Mana mungkin mereka akan beralih arah. Satu lagi tidak payah mahu menyasarkan agensi-agensi kerajaan dalam ‘peperangan’ politik ini.
Tiada apa yang perlu dirisaukan, kalau ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak melakukan apa-apa kesalahan, tenang-tenang sahaja. Ingat senang ke nak buat kes untuk memerangkap orang. Macam kes-kes yang sudah berlaku sebelum ini la, cakap bermotif politik, konspirasi dan macam-macam tetapi bila perbicaraan segala benda keluar.
Begitulah juga dengan Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO yang semakin tidak tentu arah memberi tekanan kepada Ismail Sabri dan kawan-kawan dalam Kabinet. Kelompok ahli Parlimen dalam kerajaan dok berhempas pulas menangani Covid-19, Ahmad Zahid dan kawan-kawan dok bertungkus lumus berpolitik nak jatuhkan Muhyiddin dan kerajaan.
Selepas itu dok ‘melalak’ kerajaan gagal tangani Covid-19, negara perlu pemimpin berwibawa, kena tubuh kerajaan interim. Macam nak buat kerja kalau ada pemimpin-pemimpin UMNO bagaikan ‘duri dalam daging’ kepada kerajaan dan mempunyai agenda peribadi dengan menyerang Perdana Menteri!
Penulis percaya PH yang diketuai oleh Anwar dan Ahmad Zahid yang menerajui UMNO tidak akan berhenti memberi tekanan kepada Muhyiddin tetapi dalam keghairahan itu jangan lupa perancangan dan ketentuan Allah.
Percayalah kalau niat kerana Allah SWT dan demi kebaikan rakyat serta negara seperti mana dicanangkan pasti Allah berkati, tetapi kalau ada agenda lain dan bertindak pula bagaikan cakap tak serupa, ia tak kan ke mana.
Leave a Reply