DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menerima tamparan hebat apabila majoriti ahli Parlimen parti itu masih menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun UMNO sudah menarik sokongan hari ini menghantar lagi surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kata Presiden UMNO itu, ia bagi memaklumkan pertambahan bilangan ahli Parlimen UMNO yang tidak lagi memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Justeru kata beliau dalam kenyataan, dakwaan Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti di Parlimen adalah tidak benar dan wajar melepaskan jawatannya segera.
‘’UMNO mencabar kerajaan untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen untukmembuktikan Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti dan bukannya menunggu sehingga September,’’ katanya.
Persoalannya kenapa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kelam kabut sangat mahu menghantar surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah ia akan dilakukan setiap hari sehingga September?
Kalau Ahmad Zahid sudah yakin Muhyiddin tiada lagi sokongan dan yakin dengan jumlah ahli Parlimen bersamanya, Presiden UMNO itu sepatutnya tenang-tenang sahaja menanti sidang Dewan Rakyat pada September.
Ia memandangkan sebagai seorang yang semalam dengan tegas menyatakan UMNO memihak kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan PN, Ahmad Zahid sepatutnya taat apabila Seri Paduka telah memberi perkenan kepada Muhyiddin untuk membentangkan usul percaya kepada beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
SD tidak bernilai bukan undi Dewan – Gopal Sri Ram
Lagi pula seperti mana kata Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram seperti dilaporkan oleh Malaysia Now, mereka boleh menghantar semua SD ke istana, tiada masalah, yang penting adalah apa yang berlaku di Dewan Rakyat.
‘’SD tidak bernilai kerana ia bukan undi dewan. Kehilangan kepercayaan bermaksud kehilangan kepercayaan di Dewan Rakyat. Sebelum ada apa-apa usul pengundian tidak percaya berlaku di Dewan Rakyat, kerajaan akan terus berkuasa. Kerajaan tidak jatuh berdasarkan SD yang dihantar ke Istana,’’ kata Gopal Sri Ram.
Beliau turut menegaskan, hanya sepanjang sesi Parlimen sahaja majoriti Perdana Menteri boleh dibuktikan.
”Cara-cara lain itu hanya menunjukkan kejahilan seseorang mengenai prosedur undang-undang,” katanya.
Berdasarkan hujah itu tidak perlulah Ahmad Zahid kelam kabut mahu menghantar SD kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam tempoh sebulan ini menjelang September lebih baik beliau menumpukan perhatian kes mahkamah pada 24 Ogos ini selain memastikan apa yang dinyatakan dalam ‘SD’ benar-benar diterjemahkan ketika Parlimen nanti.
Ahli Parlimen Kimanis kekal sokong Kerajaan PN
Ketika Ahmad Zahid dilihat semakin ‘gabra’ untuk membuktikan bahawa Muhyiddin tiada sokongan daripada parti itu, hari ini dua ahli Parlimen UMNO membuat kenyataan terbuka menyokong Kerajaan PN iaitu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Mohamad Alamin ketika dihubungi Astro Awani malam ini berkata, beliau kekal menyokong Kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin walaupun terdapat segelintir pemimpin UMNO Pusat menarik sokongan mereka.
Kata wakil rakyat UMNO dari Sabah itu, beliau masih menyokong kerajaan PN sebagaimana pendiriannya sebelum ini dan menyifatkan tiada perubahan berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
“Saya akan terus memberi sokongan kerajaan PN dan soal kedudukan Perdana Menteri itu, kita serahkan kepada Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada tengah hari tadi,” katanya.
Sebelum itu, Ismail menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.
Leave a Reply