ANALISIS
BEBERAPA ahli Parlimen pembangkang dan UMNO yang menyokong keputusan parti itu menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya undi percaya kepada beliau sebagai Perdana Menteri dikemukakan di Dewan Rakyat pada September ini.
Mereka tidak boleh menerima keputusan itu walaupun ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka mahu Parlimen bersidang segera bagi memastikan agenda politik mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri dapat dilaksanakan.
Tiada motif lain selain daripada politik. Apatah lagi, mereka tidak menduga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi gagal menarik kesemua ahli Parlimen parti itu untuk menyokong keputusan MT.
Sepatutnya mereka perlu bersabar, jika mereka berhujah kalau betul Muhyiddin ada sokongan majoriti kenapa tidak diadakan sidang Dewan Rakyat segera dan menegaskan tidak perlu menunggu sehingga September, maka mereka juga tidak perlu takut jika mereka yakin boleh membuktikan di Parlimen Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti.
Tetapi mereka tidak mahu, mereka sudah tidak sabar, seluruh badan bagaikan menggigil apabila melihat Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri, kalau boleh mereka mahu hari ini juga Muhyiddin tidak lagi berada di posisi tersebut seperti mana diinginkan oleh pemimpin-pemimpin bertaraf ‘batu api’ dalam UMNO.
Cukuplah, rakyat bukan sahaja mual malah sudah hendak muntah melihat gelagat ahli-ahli Parlimen yang tidak sudah-sudah berpolitik dari dalam dewan bersidang di Parlimen, kemudian berarak di jalanan hingga ke perkarangan PWTC.
Apa lagi yang mereka mahu? Sebelum ini desak bagai nak ‘rak’ supaya buat undi tak percaya sehingga ia menjejaskan tumpuan kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19. Sekarang bila Muhyiddin bersedia berhadapan dengan undi percaya, desak pula dipercepatkan?
Jadi tak payahlah ‘meroyan’ sangat! Dalam tempoh sebulan ini anggap tempoh bertenang, masing-masing tumpu di kawasan sendiri untuk membantu rakyat dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19. Tolong kempenkan supaya rakyat jaga SOP, kalau betul kita mahu mengurangkan kes Covid.
Yang mana ada kes mahkamah bulan ini, selesaikan urusan tersebut supaya boleh tenang di Parlimen nanti, tak payah dok merapu meraban dalam media sosial.
Tak perlu buang masa ‘terpekik terlolong’ minta Muhyiddin letak jawatan, dok memekak kata kerajaan gagal sedangkan mereka tidak buat apa-apapun untuk rakyat sebaliknya dok buat percaturan merebut kuasa sahaja.
Sebab itulah penulis bersetuju dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berdoa agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik.
Memang politik kita sekarang sudah kelam kabut dan paling malang berlaku ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Semua dok canang berjuang untuk rakyat, kasihan kat rakyat, ramai rakyat susah tapi bila masuk Parlimen kerajaan nak bentang apa yang sudah dilakukan, bukannya nak bagi ‘input’ tapi dok cari peluang nak jatuhkan kerajaan.
Jadi hentikan ‘kegilaan berpolitik’ itu, bersabarlah menanti September, tak lama pun. Di Dewan Rakyat nanti buktikan sama ada Perdana Menteri ada sokongan atau tidak. Tetapi jangan lupa, akhirnya Allah SWT tentukan segala-galanya.
Leave a Reply