SIK – Seorang wanita warga emas maut apabila rumah yang didiaminya di Jalan Charok Kit, Kampung Kemuning dekat sini, terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mangsa Maryam Minhat, 90-an, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, dua lagi individu yang tinggal di situ iaitu anak dan menantunya, berjaya menyelamatkan diri dengan seorang daripada mereka melecur di kaki.
“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.23 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian. Sebaik tiba, didapati api sedang marak di rumah dua tingkat tersebut.
“Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 10 minit kemudian dan mayat mangsa ditemukan dalam sebuah bilik sebelum diserahkan kepada pihak hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu anak Maryam, Shuid Awang, 63, dilaporkan selamat dan sekadar mengalami kecederaan ringan manakala isterinya, Zalina Mohamad, 55, melecur di kaki.
Mohamadul Ehsan menambah, kebakaran itu turut mengakibatkan kemusnahan terhadap tiga motosikal milik keluarga tersebut.
“Punca kejadian masih disiasat,” katanya.
Leave a Reply