Oleh RAHIMI MOHAMAD
KETIKA kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusaha untuk membina negara dengan menangani kes Covid-19 yang masih tinggi, Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sibuk menggagalkan usaha kerajaan.
Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, perkara itu dapat dilihat ketika kumpulan itu mendakwa bahawa ‘kerajaan gagal’ menangani Covid-19, sedangkan mereka pula yang cuba menimbulkan kluster baharu.
“Hakikatnya, kerajaan PN berusaha untuk menangani Covid-19 dengan peningkatan pemberian vaksin setiap hari serta pemberian sumbangan kepada masyarakat yang terjejas.
“Tetapi PH pula sibuk menggagalkan usaha kerajaan untuk menangani Covid-19 dengan berhimpun secara haram. Mereka tidak kisah rakyat terbunuh, asalkan matlamat mereka tercapai.
“Mereka rasa mereka sahaja yang boleh menangani wabak Covid-19 sedangkan rekod 22 bulan sudah menunjukkan kegagalannya. Manifesto yang dijanjikan tidak dapat diselesaikan, ini kan pula mahu menyelesaikan masalah penularan Covid-19 yang semakin merebak,” katanya.
Kata Rusman, sejarah perebutan kawasan bermula dengan pergaduhan semasa pemilihan PKR, desakan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sehingga akhirnya runtuh kerajaan pada masa itu disebabkan oleh tangan mereka sendiri.
“Terkini, mereka juga ingin berebut kuasa semula dengan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan. Filem ini pasti berlangsung lagi apabila mereka memimpin semula negara, adakah kita masih ingin melihatkan perebutan kuasa ini berlarutan,” soalnya.
Leave a Reply