SEORANG pelawak yang ditahan disebuah hotel dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.
“Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya, hari ini.
Media melaporkan lelaki berumur 40-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, Ahad lalu.
Polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.
Hasil pemeriksaan pihak polis juga merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang dan empat buah telefon bimbit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Leave a Reply