SEORANG lelaki nekad memecah masuk sebuah pasar raya dengan melanggar pintu kaca premis itu menggunakan jentera pengangkut barang atau ‘forklift’ sebelum melarikan 30 telefon bimbit dalam satu kejadian di Kompleks Tok Arau, Perlis hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian pecah masuk itu berlaku pada pukul 4.06 pagi dan berlaku dalam tempoh 15 minit sahaja.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki memandu sebuah ‘forklift’ milik pasar raya terbabit sebelum melanggar pintu masuk kaca sehingga ia terbuka.
“Suspek kemudian masuk dan menggeledah kedai telefon bimbit dan aksesori yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pasar raya.
“Dia kemudian mengumpil rak kaca kedai itu lalu mencuri 25 telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanda berkata, suspek kemudian naik ke tingkat satu pasar raya dan menuju ke sebuah lagi kedai telefon bimbit dan aksesori.
Ujarnya, lelaki itu turut mengumpil dan mencuri lima telefon bimbit yang dihantar pelanggan untuk dibaiki dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM600.
“Suspek kemudian melarikan diri dan kejadian hanya disedari jam 9.15 pagi semasa pengawal keselamatan masuk untuk memulakan tugasnya,” katanya.
Sementara itu, Nanda memberitahu, pihaknya menganggarkan nilai kerugian berjumlah RM13,680.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan perbuatan dilakukan oleh orang dalam dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply