AHLI Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau yang merupakan salah seorang daripada Ahli Parlimen daripada UMNO turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.
“Sesungguhnya patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu sehingga akhir hayat patik.
“Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan. Patik turut menzahirkan sokongan penuh patik kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan Malaysia sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Muhyiddin memaklumkan masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.
Ismail menambah cara pemerintahan Al-Sultan Abdullah memberikan keinsafan kepadanya mengenai tanggungjawab yang dipikul.
“Keprihatinan Tuanku terhadap apa juga isu telah membuatkan rakyat jelata turut terdidik dengan sifat-sifat mulia dan berhemah tinggi,” ujar beliau.
Ismail telah berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Maran.
Leave a Reply