SELEPAS timbul laporan mengatakan pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang hari ini tampil menafikan dakwaan demikian.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, hasil semakan dan siasatan mendapati pihaknya mendapati tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
“Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook HTAR, hari ini.
Beliau mengulas tangkap layar laporan sebuah portal berita dalam talian yang dikongsi seorang ahli politik tempatan di akaun Facebooknya yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR.
Dr Zulkarnain dalam pada itu menjelaskan, pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara bertempat di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi penyaman udara.
Ujarnya, Jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang agak ramai.
“Pihak hospital sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang awam untuk penambahbaikan bagi memastikan akses kesihatan dan rawatan yang saksama kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ini,” katanya.
Hujung bulan lalu, HTAR turut menafikan hospital berkenaan berhadapan dengan isu kekurangan tong oksigen dan katil untuk pesakit seperti yang tular dalam media sosial.
Bekalan oksigen serta katil di HTAR bagi kegunaan merawat pesakit adalah mencukupi.
Leave a Reply