Oleh RAHIMI MOHAMMAD
SEBARANG desakan ke atas kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dihentikan sehingga sidang Dewan Rakyat akan datang apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan kesediaan beliau untuk membuktikan keabsahan kedudukannya.
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan perlu terus berfungsi seperti biasa dan menunggu sehingga sidang Dewan Rakyat pada September ini.
“Semua Ahli Parlimen diseru untuk mengenepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi tumpuan penuh kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
“Penumpuan harus diberi kepada usaha meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta menyempurnakan usaha membantu rakyat di lapangan,” ujarnya.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keberanian Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu membuktikan keabsahan itu wajar diberi pujian.
“Beliau berbuat demikian kerana keabsahannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan segelintir pihak.
“Perdana Menteri telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Malah kesemua cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri telah mendapat perhatian dan perkenan Seri Paduka.
“Justeru, kerajaan PN perlu kekal melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Dr. Sahruddin berkata, PN Johor menghormati dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan sekali gus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara yang telah menjadi asas perpaduan dan keamanan negara.
“PN Johor juga teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk terus mengemudi kerajaan ini,” tambahnya.
Leave a Reply