ANALISIS
SEJAK semalam lagi apabila tersebar berita bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini, semua orang sudah boleh menjangkakan apa yang berlaku.
Justeru apabila hari ini Presiden parti Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dengan bangganya mengumumkan keputusan parti itu sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri, ia bukanlah satu kejutan.
Keputusan juga menyaksikan tidak kurangg 12 Ahli Parlimen termasuk Ahmad Zahid dan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani akuan bersumpah bagi tujuan itu.
Justeru apa yang lebih menjadi tumpuan apakah akan berlaku selepas ini? Adakah agenda Perdana Menteri yang diperjuangkan akan menjadi kenyataan? Kalau ia dilakukan adakah ia akan bertepatan dengan Perlembagaan? Siapakah calon yang sesuai? Kalau daripada UMNO, adakah parti-parti lain akan bersetuju? Wajarkah sebuah parti yang ditolak oleh rakyat dan kalah dalam pilihan raya dilantik menerajui kerajaan?
Bagaimanapun pula dengan hak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang kalau mengikut Perlembagaan boleh menghadapi Yang di-Pertuan Agong sama ada menawarkan untuk meletak jawatan atau membubarkan Parlimen?
Atau adakah kehilangan majoriti itu bukan bergantung kepada akuan bersumpah sebaliknya akan mengulangi majlis menerima menghadap seorang demi seorang ahli Parlimen seperti mana berlaku sebelum ini? Atau adakah Yang di-Pertuan Agong akan menitahkan supaya kehilangan majoriti itu dibuktikan di Parlimen pada September?
BACA JUGA : MT UMNO akan laksanakan ‘agenda kluster mahkamah’?
Atau adakah sebuah kerajaan perpaduan akan ditubuhkan – yang kita tahu idea tidak dipersetujui oleh semua parti politik termasuk pembangkang ketika ia dikemukakan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad?
Atau adakah akan dibenarkan kewujudan kerajaan minoriti yang bermaksud gabungan atau parti mana yang memiliki kerusi paling banyak di Dewan Rakyat, ia akan menjadi kerajaan sehingga tempoh penggal Parlimen berakhir pada 2023?
Atau adakah MAGERAN ditubuhkan? Soalnya adakah Malaysia sudah sampai ke tahap tersebut?
Sebenarnya terlalu banyak persoalan yang perlu difikirkan, dijawab dan dirungkaikan. Tetapi apa yang pasti penulis benar-benar bersimpati dengan rakyat Malaysia yang terpaksa menyaksikan adegan politik yang cukup memualkan ini.
Paling malang, krisis politik itu diwujudkan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, ketika usaha sedang dilakukan dalam memerangi wabak itu dengan empat menteri UMNO terlibat memainkan peranan penting dan langkah pelan pemulihan negara sedang dijalankan, kerakusan dan keghairahan segelintir parti itu memusnahkan segala-galanya.
Percayalah, apa yang berlaku tidak akan memberi kebaikan kepada negara, jauh sekali kepada UMNO yang bertanggungjawab ‘meruntuhkan’ kerajaan ketika rakyat dan negara sedang susah. Sebaliknya keadaan akan menjadi betapa buruk, kenapa? Kerana ahli-ahli politik akan terus berperang sesama mereka merebut kuasa politik dan mempunyai agenda peribadi.
Kalau kerakusan itu tidak ada, sudah pasti mereka khususnya pemimpin UMNO yang sepatutnya bersyukur kerana kembali diberi kuasa selepas ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 tidak akan mengganggu pemerintahan Muhyiddin dan Kerajaan PN yang mereka turut menganggotainya.
Tetapi apa boleh buat agenda akibat dendam politik telah membaluti pemimpin UMNO. Maka apa sahaja ruag yang ada untuk meruntuhkan kerajaan ini, akan mereka sahut apatah lagi dalam kalangan mereka yang ‘semakin kelemasan’ kerana kes mahkamah.
Apapun segalanya sudah berlaku, sama-sama kita tunggu apa kesudahan ketegangan drama politik yang dicetuskan akibat pengaruh hebat ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO – yang pasti jika keadaan bertambah buruk, UMNO perlu bertanggungjawab! Itu saja…
Leave a Reply