Oleh Abu Ubaidillah Rahman
SERAMAI 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) nyaris lemas apabila tongkang dinaiki mereka merempuh bot pihak maritim pada kedudukan 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang, semalam.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, semua PATI berusia 20 hingga 45 tahun sedang menyusup keluar dari perairan negara menuju ke Indonesia dengan tongkang kayu tersebut.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, Bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tongkang yang bergerak tanpa sebarang lampu itu ketika rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Ehsan.
Menurutnya, tekong tongkang itu bagaimanapun bertindak agresif dan merempuh bot tersebut bagi meloloskan diri.
“Rempuhan kemudian mengakibatkan tongkang berkenaan karam dan semua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga nyaris lemas.
“Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Leave a Reply