SOSMA agensi kerajaan

Krisis Perlembagaan atau kemaruk kuasa?

Oleh DATUK ZAKARIA DULLAH

SEPANJANG minggu lalu (mulai 26.7.2021), hinggalah ke hari ini (3.8.2021), rentetan daripada persidangan khas Parlimen, kemudiaannya disusuli dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Parlimen) berkaitan dengan keputusan kerajaan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dilaksanakan sepanjang tempoh darurat (Feb 2021 hingga Julai 2021) ia  menimbulkan perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang (ironi dan sangat kontradik).

Perdebatan yang membawa naratif bahawa pengumuman oleh menteri berkenaan adalah bersalahan dengan Perlembagaan dan penghujungnya mengangkat polemik bahawa kerajaan PN telah menderhaka kepada titah Tuanku Agong;

Perkara ini menampakkan antogonis antara Kerajaan PN & Istana, apabila dua hari berturut-turut diantara 27 Julai dan 28 Julai, senario berbalas-balas surat dan watikah antara Kerajaan dan Istana berkenaan duduk-letak Ordinan Darurat yang dikatakan pengumuman di dalam Dewan Rakyat tersebut adalah melanggar Perlembagaan dan menderhaka kepada Tuanku Al-Sultan YDPA.

Ia kemudiannya  digarap dan dicanang (oleh pihak yang berkepentingan) sebagai satu lagi episode krisis Perlembagaan di negara kita. Untuk rekod negara kita (antara Kerajaan dan Istana) telah dua kali ini sebelum ini “terjebak” dalam kancah dan polemik krisis Perlembagaan, iaitu masing- masing pada tahun 1983 & 1993.

Adakah apa yang berlaku pada minggu lalu, merupakan satu lagi bentuk krisis Perlembagaan antara kerajaan dan pihak Istana? Dalam konteks apakah kita harus memahami perkembangan yang berlaku di Parlimen pada minggu lalu? Atau apakah yang berlaku pada minggu lalu lebih kepada “pucuk dicita ulam mendatang”?

Untuk itu diperturunkan di bawah ini 4 perkara penting yang perlu dihadam bagi tujuan memahami peristiwa pada minggu lalu melangkaui nuansa atau naratif yang dicanangkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tersebut:

(1)Dikatakan pengumuman “revokasi” oleh Menteri berkenaan melanggar perlembagaan, kerajaan menderhaka dan krisis perlembagaan.

Sebenarnya tidak wujud ke tiga-tiga aspek atau elemen tersebut. Mana mungkin dikatakan melanggar Perlembagaan sedangkan telah dijelas oleh pihak kerajaan “SOP” memaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan keinginan dan hasrat kerajaan untuk “merevokasi” kesemua ordinan yang dilaksanakan sewaku tempoh perintah darurat dilaksanakan. Maknanya Duli Yang Maha Mulia Tuanku maklum akan duduk letak dan hasrat kerajaan tersebut.

Berbahaslah sama ada Perkara 40 (3) atau Perkara 150 (3), masing-masing menyatakan pandangan dan perspektif masing-masing berdasarkan kepada tafsiran yang bersifat “kesuaian dengen kehendak” masing-masing pihak, hanya akan bersifat menegakkan “benang yang basah”.

Yang jelas antara kerajaan dan istana telah sedia maklum akan hasrat hasrat kerajaan terhadap Ordinan-Ordinan Perintah Darurat  itu, iaitu untuk membatal dan tidak meneruskan selepas tamat tempoh proklomasi darurat. Justeru tidak wujud  elemen atau situasi krisis Perlembagaan di sini.

Yang dikatakan krisis Perlembagaan itu apabila ada satu pihak yang berkepentingan menggusulkan @ menggerakkan@ membelakang, bagi tujuan melemahkan @ mengurangkan kedudukan satu pihak (Istana dalam konteks ini) dalam konteks yang dalam mana menjalankan sesuatu tugas @ tanggungjawab itu, seperti mana yang berlaku pada tahun 1983 dan 1993.

Lantas, apa yang berlaku di Parlimen pada minggu lalu, tidak wujud elemen seperti mana yang dinyatakan di atas, tidak wujud iltizam pihak kerajaan untuk melemah atau mengurangkan kedudukan Istana (baca YDPA) sebagai salah satu komponen Parlimen seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan.

Apa yang boleh dinyatakan di sini, yang berlaku minggu lalu melalui tindakan YB Menteri berkenaan yang perlu diakur adalah kekhilafan Adab antara kerajaan dan istana dalam mana menjalankan tanggungjawab.

Kekhilafan adab adalah perkara yang bersifat “budaya” atau “isu budaya ”, ia bukan bersifat Perlembagaan, malah di luar perlembagaan atau tidak ada kena-mengena atau terkait dengan perlembagaan.

Makanya, kekhilafan adab inilah yang perlu diperbetulkan dan dipohon kemaafan kepada pihak Istana. Isunya di sini adalah kekhilafan adab. Mengapa istilah kekhilafan adab yang ditimbulkan disini.

Kita harus faham, bahawa politik di Malaysia ini, salah satu elemen yang mendasarinya adalah budaya Melayu. Institusi Raja itu adalah salah budaya dan tradisi Melayu  yang sangat “sacred”, sangat sensitif dan dilindungi.

Lihat apa yang terjadi apabila British apabila cuba “menganggugugat” institusi ini pada tahun 1946. Selama lebih 400 tahun, British menjajah Tanah Melayu, institusi Raja tidak pernah diganggu, tapi sekali tersilap langkah British, implikasinya adalah seperti mana yang tercatat didalam bahan-bahan sejarah.

Janganlah kita keliru akan hal ini, atau kita buat-buat keliru dan tidak mengerti, apa yang terjadi minggu lalu bukanlah sebuah krisis Perlembagaan. UMNO, selaku parti politik yang disebut sebagai “The Patron of the Malays” sepatutnya berdiri teguh mendukung kedudukan kerajaan melayu PN yang sedia memerintah sehinggalah ke tarikh pembubaran parlimen kelak bagi memberi laluan kepada PRU-15;

(2)Oleh itu, kita sebagai pemimpin Melayu, harus memahami “kemelut politik” yang tercetus pada minggu lalu, lebih kepada gerakan terdesak kelompok-kelompok tertentu untuk meruntuhkan kerajaan dominasi Melayu-Islam yang turut dipimpin oleh UMNO.

Kita boleh berbeza pendapat dalam kalangan kita (dalam UMNO) atau dengan kempimpinan Melayu diluar UMNO, tetapi janganlah perbezaan itu membawa kepada natijah sehingga menghancurkan dominasi dan kuasa Melayu di negara ini.

Keputusan PRU14 seharusnya menjadi pengajaran kepada kita dan sewajarnya kita berwaspada untuk tidak “dipatuk bagi kedua kalinya”.

Kali ini, pihak-pihak berkenaan, mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan mengheret institusi raja (istana) atas nama “penderhakaan”, yang sebenarnya bertujuan untuk “menikam secara halus” orang Melayu dan kepimpinan Melayu yang sedang berkuasa pada hari ini.

UMNO harus bijaksana menilai situasi masa kini, jangan kita bertindak atas dasar emosi dan kepentingan peribadi; amarah, amokan, persekongkolan, akhirnya merugikan orang Melayu sendiri. Tidak kah kita belajar daripada sejarah bangsa kita sendiri? Fikirlah dengan kewarasan dan akal budi yang matang dan rasional. Jangan kita cuba untuk bertindak seperti “Lebai Malang”, “menang sorak, kampung tergadai”.

Cuba perhatikan, sehari dua ini, isu yang dinaratifkan tidak lagi “penderhakaan”, tapi “Kerajaan Gagal”. Apa maknanya? Cuba lihat dan analisis dengan mata-hati yang celik-budi. Ini semua adalah agenda untuk meruntuhkan bangsa Melayu.

Digerakkan anak muda berbaju hitam (kesian mereka ditipu didalam terang), rata-ratanya pemuda Melayu yang masih dangkal akan sepak-terajang politik.

Kelmarin (2.8.2021), kelompom berkepentingan ini pula berhimpun kononnya atas dasar demokrasi. Jika benar mereka berhimpun atas dasar demokrasi, mereka tidak akan berhimpun dalam suasana negara sedang dilanda serta bergelut dengan musuh tidak nampak iaitu Covid-19.

Mereka sebenarnya tidak menghormati dan telah melanggar demokrasi apabila berhimpun tak kala perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan….sangat menyedihkan;

(3)Sudah tentulah apa yang berlaku di Parlimen pada minggu lepas, atas kekhilafan adab Menteri berkenaan, umpama “pucuk dicita ulam mendatang” atau juga umpama “orang yang mengantuk di sorongkan batal”.

Dipergunakan, dinaratifkan dan dicanang bahawa kerajaan menderhaka, kerajaan gagal, kerajaan menipu, semuanya untuk satu agenda iaitu kuasa dengan cara mengelirukan kita semua.

Janganlah kita terkeliru dan akhirnya ditipu di siang hari ini akan duduk letak perkara dan kemelut ini. Kita, kepimpinan UMNO punya galas dan tanggungjawab yang besar sekarang, iaitu melindungi rakyat dari bahana dan musibah Covid-19, marilah kita sama-sama mengembeleng tenaga dan bersatu hati ke arah itu, ketepikan nafsu persendirian kita buat sementara waktu ini;

(4)Barang diingat wahai teman-teman seperjuangan semua, MP-MP UMNO yang berada dalam kepimpinan kerajaan PN buat masa ini, bekerja dan berbakti bagi tujuan melindungi rakyat Malaysia amnya dan umat Melayu khususnya dan juga Institusi Raja yang kita kasihi dan sanjung tinggi.

 Inilah waktu dan kesempatan yang terbaik untuk UMNO kembali bangkit selepas kehilangan kuasa pada PRU-14 yang lalu. Allah SWT memberi kesempatan kedua buat kita semua dan kesempatan itu sedang menguji kita.

Kalau hastag menangani wabak Covid-19 adalah “lindung diri, lindung semua”, maka hastag kita orang Melayu adalah “hanya melayu lindung melayu”.

Percayalah bangsa lain tidak akan melindungi kita, hanya kita sahaja yang mampu berkorban untuk melingdungi kita, jangan kita nanti membuat keputusan yang bakal merugikan bangsa kita dan akhirnya terjebak seperti mana Bangsa Palestin di bumi sendiri.

Anak Raja Memikul Perahu;

Perahu dipikul Diatas Titian;

Satu Sahaja Salah Bangsaku;

Sesama sendiri berdengki-dengkian.

WallahuAlam.

  • Datuk Zakaria Dullah adalah Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *