Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KIT Ujian kendiri Covid-19 akan dijadikan sebagai barangan kawalan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.
Menurut Rosol, langkah kerajaan adalah untuk memastikan ia dijual dengan harga berpatutan dan mampu dibeli oleh semua pengguna.
Bagi tujuan itu kata beliau, pihaknya kini sedang berbincang dengan pengilang, pengimport dan penjual kit ujian kendiri terbabit.
“Kami mendapat maklumat setiap satu kit ujian ini dijual dengan harga RM39.90, saya rasa ia akan membebankan pengguna dan tidak ramai yang mampu membelinya.
Menurut Rosol, pihaknya kini sedang berbincang bagi mendapatkan harga munasabah dan tidak rugikan peniaga di samping tidak bebankan pengguna.
“Harapan kita agar semua orang mampu membeli. Kita dalam proses jadikan ia sebagai barang kawalan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Bas di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, hari ini.
Felda Bukit Bading merupakan lokasi pertama Program Movak Bas di Hulu Terengganu di mana seramai 360 penduduk kawasan tersebut menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Program itu yang bertujuan untuk memberi kemudahan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan bergerak ke enam lokasi lain iaitu Bukit Tadok, Tapah, Tok Randok, Getang, Kua dan Binjai Kertas dengan sasaran 3,500 penduduk bakal divaksin.
Rosol juga memaklumkan, selain memastikan harga dijual mampu milik, KPDNHEP juga kini bersedia dengan kemungkinan wujudnya jualan kit ujian kendiri Covid-19 tiruan dalam pasaran.
“Kami khuatir apabila kit ujian ini dijual, ada yang cuba menjual barangan tiruan, jadi tugas kita akan memastikan barang yang dijual itu adalah tulen dan pengguna tidak ditipu,” katanya.
Leave a Reply