‘Awang Belantik’ akhirnya ditangkap

by

in

Oleh RIZQI ZABIDI

KEBIMBANGAN penduduk terhadap ancaman seekor gajah liar yang sering merosakkan tanaman di Kampung Kubang Belantik dekat Sik sejak sebulan lalu, berakhir apabila haiwan tersebut berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah yang dianggarkan berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggotanya dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kedah.

Menurutnya, mamalia itu yang diberi nama ‘Awang Belantik’ bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perlakuan agresif ketika usaha menangkapnya dijalankan.

“Awang mungkin sudah terbiasa dengan penempatan manusia. Disebabkan itu, gajah tersebut tidak bertindak agresif ketika dijejaki dan ditangkap.

“Gajah tersebut ditangkap dalam kebun getah di belakang rumah penduduk kampung. Kerja-kerja menangkapnya mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya kepada pemberita di Sik, hari ini.

Jamalun menambah, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran Awang yang sering merosakkan tanaman mereka.

“Kelibat Awang sering kelihatan di kampung itu kebelakangan ini, mungkin disebabkan musim buah.

“Awang dipercayai terpisah dari kumpulannya dan itu menyebabkan haiwan tersebut mencari makan bersendirian,” katanya.

Tambahnya, Awang akan dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Temenggor di Perak dengan bantuan dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Pasukan dari PKGK dan dua gajah denak itu dijangka sampai pagi esok.

“Ketika ini Awang sudah pun ditambat dan keadaannya sentiasa kami pantau,” katanya.

habis..


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *