Tangguh sidang DUN, Covid-19 di Johor meningkat

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan bersidang pada 12 Ogos ini perlu ditangguhkan susulan kes positif Covid-19 di negeri tinggi sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, penangguhan adalah langkah terbaik bagi mengelak peningkatan kes termasuk mengelak mencetuskan kluster baharu.

“Tambahan pula Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk berangkat bagi merasmikan sidang DUN Johor yang dibimbangi akan membahayakan baginda dan semua yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 78 ahli Persatuan Anak-anak Perantau Johor di Pasar Mufakat Sabah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

Sehingga hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Johor merekodkan 1,222 berbanding semalam yang mencatatkan 1,045 kes.

Sementara itu, Che Zakaria mengecam penganjuran himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu kerana dilakukan dalam keadaan tidak sesuai selain membuang masa.

Beliau kesal kerana peserta diperalatkan pihak berkepentingan malah membahayakan nyawa mereka sendiri apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP), tidak melakukan penjarakan sosial dan bersesak-sesak.

“Apa yang kita dapat dengan buat demonstrasi seperti ini. Kita harap anak muda jangan terpengaruh dengan dengan mana-mana pihak untuk berdemonstrasi,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Perantau Johor.

Dalam pada itu, beliau menafikan berlaku krisis Perlembagaan seperti yang didakwa pembangkang semata-mata kerana pembatalan Ordinan Darurat diumumkan di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata, tidak timbul soal tidak hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana proses itu sedang berjalan mengikut peraturan.

Jelasnya, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan perkara itu di Parlimen sekadar memaklumkan pendirian dan keputusan terkini Kabinet tanpa memperincikan proses itu sebenarnya masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *